Gadis sunti kena culik
KUANTAN - Seorang pelajar, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15,  yang dilaporkan diculik pada Ahad lepas dipercayai selamat dan berada di rumah ibu angkat seorang kawannya.   

Menurut ibu remaja berkenaan, Nor Mala Mohd Lazin, 34, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan anaknya itu kini berada di rumah ibu angkat kawan anaknya itu.  

"Saya mendapat panggilan telefon pada kira-kira 2 pagi dan meminta saya dan keluarganya usah bimbang. Pada mulanya lelaki itu menyamar memberitahu dia pelajar tingkatan empat satu sekolah dengan Fatihah, namun apabila didesak dia akhirnya memberitahu dia adalah kawan kepada Fatihah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.  

Nor Mala berkata lelaki itu kemudian memaklumkan bahawa Fatihah akan pulang ke rumah dalam masa terdekat setelah kehilangannya kini telah menjadi kes polis.

"Saya sempat memujuk lelaki itu malah mendakwa mengenalinya supaya memaklumkan di mana Fatihah tinggal.  

"Dalam perbualan kami selama dua jam itu, lelaki itu yang berusia 20-an turut memberitahu dia serba salah untuk berterus-terang kerana dia juga ada kes polis dan tak mahu ada apa-apa rekod lagi," katanya.  

Ketua Polis Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata kes itu masih dalam siasatan polis. - Bernama

Sumber