MD ISA (kiri) melayan Puan Ahmad (duduk) pada program Jalinan Mesra Bersama Warga Tua di rumahnya di Sanglang, semalam.
ARAU: Warga tua berusia 116 tahun, Puan Ahmad yang turut dianggap sebagai wanita paling tua di Perlis, semalam menyuarakan isi hatinya untuk berkahwin lagi, walaupun pernah enam kali mendirikan rumah tangga.
“La (sekarang) tok tengah dok cari calon. Kalau boleh nak cari orang dekat sini saja. Bukan apa, saja nak buat peneman sebab bosan dok sorang tua-tua ni,” katanya ketika ditemui sempena program Jalinan Mesra Bersama Warga Tua yang diadakan di kediamannya di Padang Keria, dekat Sanglang, di sini.
Program itu dianjurkan Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia (PKSM) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri khusus untuk meraikan 42 warga tua dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang. Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Pengerusi PKSM, Datuk Mastika Junaidah Hussin dan Pengarah JKM negeri, Abdullah Ali.
Hasil perkongsian hidup melalui dua suami pertamanya, Puan dikurniakan empat anak berusia antara 58 dan 73 tahun, selain 19 cucu dengan yang paling bongsu berusia 21 tahun, serta 47 cicit dengan usia paling tua 25 tahun.
Ditanya mengenai petua yang diamalkannya Puan berkata, menjadi kebiasaan orang lama sepertinya yang suka makan pucuk kayu segar dari hutan.
“Berbeza sekali dengan orang sekarang biasanya makan tak tentu hala ikut suka perut saja.
“Tok tak ada pantang apa-apa, cuma makan tu biar berpada. Ada orang kata bila tua banyak benda tidak boleh makan, tetapi tok makan apa saja termasuk daging, janji jangan banyak sangat.
“Alhamdulillah, sampai sekarang Tok tidak pernah lagi diserang sakit serius, apatah lagi nak merasa duduk di katil hospital. Bukan nak bangga, cuma tok bersyukur dan harap Allah akan terus bagi tok kesihatan,” katanya.
Sementara itu, dua anak lelaki Puan, Teh Man, 65 dan Mat Yusop Man, 63, ketika ditanya mengenai hasrat ibu mereka untuk mendirikan rumah tangga lagi, masing-masing dilihat tersenyum.
“Kami tak pernah halang dia kahwin lagi. Dulu, dia kahwin banyak kali pun kami tidak pernah bising. Itu hak dia, sebab kami pun sedar dia bosan dan sunyi,” kata Mat Yusop.
Sumber
No comments:
Post a Comment