Jika dahulu, ubi kayu sering menjadi makanan pilihan apabila berlaku masalah seperti musim tengkujuh, malapetaka dan menjadi makanan ruji semasa Perang Dunia Kedua kerana kesukaran untuk mendapatkan beras ketika itu.
Ubi kayu boleh diaplikasikan dalam pelbagai bentuk untuk menghasilkan makanan lazat seperti kuih bingka ubi, kerepek dan juga tapai.
Jika dahulu, ia merupakan makanan tradisional masyarakat Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu, namun kini, tapai digemari oleh semua.
Buktinya, ia telah diusahakan secara komersial oleh Hamdan Hamzah, 44, berasal dari Perak selama 12 tahun.
Menurutnya, usaha gigih untuk menghasilkannya membuahkan hasil apabila melihat tapainya menjadi pilihan ramai.
“Nampak mudah, tapi ia agak sukar untuk dihasilkan supaya menjadi sempurna dari segi rasa dan tekstur,” katanya.
Sebelum memulakan perniagaan tapai, beliau dan isteri, Zita Said, 39, mengambil masa lapan bulan untuk melakukan kajian terutama semasa proses pengeraman.
“Saya belajar melalui rakan dan mengumpul sedikit sebanyak mengenai tapai dengan bertanyakan orang yang lebih arif,” katanya.
“Tapi, kami sedia maklum, mereka tidak akan memberi resipi lengkap, jadi terpaksalah diusahakan sendiri dengan membuat beberapa percubaan sehingga berjaya,” katanya.
Nostalgia tapai daun getah
Beliau berkata, tapai mempunyai keunikannya tersendiri sehingga ramai yang ‘jatuh hati’ dengannya.
“Rasa manis dan tekstur yang lembut sesuai dimakan pada bila-bila masa sahaja, malah enak dijadikan pencuci mulut,” katanya.
Hamdan berkata, selain tapai ubi, beliau juga turut menjual tapai pulut.
“Tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah paling mendapat sambutan pelanggan. Sekejap sahaja habis dijual,” katanya.
Menurutnya, selain rasa, pembungkusannya yang unik menggoda pelanggan.
“Pelanggan kami sangat menyukainya mungkin kerana nostalgia yang sememangnya ia menjadi makanan tradisional rakyat,” katanya.
Beliau berkata, untuk memudahkan pelanggan, tapai juga dijual dalam bekas plastik.
“Biasanya seratus bekas tapai ubi dan pulut habis dijual sebelum berakhirnya pasar tani. Pelanggan boleh terus menikmatinya tanpa sebarang halangan,” katanya.
Beliau berkata, tapai yang terbaik adalah tapai yang diperam selama dua hari.
“Jika diambil awal, ia tidak akan masak malah keras dan pulut pun masih mentah. Tempoh peraman selama dua hari menghasilkan tapai yang lembut, manis dan gebu,” katanya.
No comments:
Post a Comment