Photobucket

Infolinks In Text Ads

Joomla Best around Read more: Skrip Load Blog Page bagi laju | UShareMine

Farsha Beauty Headline Animator

Tuesday, 6 March 2012

Hargai Ibu Dan Bapa Selagi Mereka Masih Ada-Hormati Mereka-Jaga Hati Mereka


Hormat, jaga hati elak tersinggung

MELAKUKAN kebaikan kepada ibu bapa adalah suatu perintah daripada Allah SWT kepada setiap Muslimin dan Muslimat. Sebagai seorang anak, kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa kerana ia satu ibadat dalam Islam. Seperti mana yang kita maklum konsep ibadat dalam Islam adalah syumul iaitu menyeluruh. Berbuat baik kepada ibu bapa adalah antara ibadat yang dituntut dalam Islam sekali gus kita akan dapat menjadi penyejuk mata bagi ibu bapa kita lebih-lebih lagi apabila mereka melangkah ke usia emas. Di samping itu, kita hendaklah menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh ibu bapa sedari kita kecil lagi sehinggalah kita berjaya menjadi seperti sekarang.
Kita sebagai anak perlulah menghormati ibu bapa, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu bapa mestilah dipatuhi selagi suruhan dan larangan mereka tidak menyalahi syariat yang telah ditetapkan. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibu bapanya ataupun mengkhianati, maka dia dianggap sudah menderhaka terhadap ibu bapanya. Bagi mereka yang derhaka kepada ibu bapanya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup ketika di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa bererti menderhaka kepada Allah SWT.
Daripada Abdullah bin Amru ra, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah daripada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah SAW: “Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?” Rasulullah SAW menjawab : “Ibumu.” Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab: “Ibumu.” Kemudian aku bertanya: “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab: “Ibumu.” Kemudian aku bertanya: “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi).

Apa yang nyata, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan hak-hak terhadap mereka adalah antara tugas yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam al-Quran, (Surah Luqman, ayat 14) yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada akulah tempat kembalimu.”

Seterusnya dalam surah al-Ahqaf ayat 15 bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula), mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjuklah Aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya Aku dapat berbuat amal yang salih yang Engkau reda; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepada Engkau dan Sesungguhnya Aku termasuk orang yang berserah diri".
Pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah mengenai perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya. Baginda marah dan menempelak sahabat itu dengan mengatakan bahawa bukan saja dalam harta malah dalam dirinya sendiri ada hak kedua-dua ibu bapanya. Jelaslah ibu bapa mempunyai hak terhadap apa saja yang ada pada kita. Sejak kita di dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga setelah dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Jika kita sakit, ibu tidak lelap tidur. Mereka berkorban apa saja untuk kita. Tetapi setelah kita besar dan boleh berdikari, sanggupkah kita mengecewakan hatinya. Oleh kerana besarnya pengorbanan ibu bapa terhadap kita, maka sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Ganjaran di atas layanan kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah tunai semasa di dunia lagi. Contohnya, jika kita mentaati mereka, anak-anak kita akan taat kepada kita. Sebaliknya jika kita menderhaka kepada mereka, anak-anak kita akan derhaka kepada kita pula.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Barang siapa ketika paginya mendapat keredaan ibu bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya jika pada pagi lagi telah menyakiti hati ibu bapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka.”

Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah kita insaf. Jika mereka tidak wujud di dunia, kita juga tidak akan lahir di dunia ini. Oleh sebab itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik-baik mungkin. Jika sudah meninggal dunia, selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping mendoakan kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala itu. Inilah saja bukti ketaatan yang dapat kita tunjukkan terhadapnya.

Ingatlah pesanan Nabi SAW: “Khabarkanlah berita gembira ini kepada mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa: Buatlah apa saja bahawasanya Allah Taala telah mengampuni mereka. Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibu bapa, buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah Taala tidak akan memberikan keampunan sedikitpun kepadanya.” Ingatlah anak yang berbuat baik kepada ibu bapa tidak akan masuk neraka dan anak yang derhaka kepada mereka tidak akan masuk syurga.”

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra.

Sumber

No comments:

Post a Comment