ABDUL RASHID (tengah) bersama Dr Lin (kiri) dan Dr Shaik Abdul Malik (kanan) menunjukkan pingat dan pengiktirafan yang diterima berhubung produk pembelajaran READS di USM, semalam.
GEORGETOWN: Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan kaedah pengajaran dan pembelajaran menggunakan sistem nyah kod dan penilaian bacaan (READS) yang membantu penguasaan serta kemahiran pelajar berbahasa Inggeris dengan mudah.
READS boleh menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas lebih menarik, mudah dan efektif. Kami mahu mempraktikkan READS dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Mandarin pada masa depan. - Abdul Rashid Mohamed, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM.
Abdul Rashid berkata, READS adalah kaedah terbukti berkesan membantu guru mengukur tahap pembacaan dan pemahaman pelajar berbahasa Inggeris.Menerusi kaedah itu, guru dapat mengenal pasti kelemahan pelajar dan secara tidak langsung membantu mereka merencanakan jenis pengajaran yang akan dipraktikkan dalam kelas.
“Kebolehan pelajar diukur melalui tiga cara dalam READS iaitu menilai keupayaan membaca, menilai kedudukan pelajar berdasarkan keupayaan membaca dan memberi huraian berhubung keupayaan bacaan pelajar,” katanya pada sidang media di USM di sini, semalam.
Abdul Rashid berkata, penyelidikan untuk menghasilkan READS membabitkan perbelanjaan RM100,000 dan kajian keberkesanannya sudah dilakukan ke atas 8,500 pelajar di 120 sekolah menengah seluruh negara.
READS juga diiktiraf sebagai produk penyelidikan terbaik dan memenangi pingat emas pada Expo Teknologi Malaysia 2012 (MTE 2012) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 Februari lalu.
Beliau berkata, sistem itu boleh digunakan bagi mempertingkatkan kemahiran berbahasa Inggeris bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima dan kami yakin ia akan memudahkan tugas guru mengenal pasti punca pelajar lemah dalam bahasa itu.
“READS boleh jadikan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas lebih menarik, mudah dan efektif. Kami mahu mempraktikkan READS dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Mandarin pada masa depan,” katanya.
Abdul Rashid berkata, pihaknya mahu mendapatkan geran penyelidikan daripada Kementerian Pelajaran bagi membolehkan READS dikembangkan meliputi pelajar sekolah rendah dan pelajar di peringkat universiti.
Sumber
No comments:
Post a Comment