Photobucket

Infolinks In Text Ads

Joomla Best around Read more: Skrip Load Blog Page bagi laju | UShareMine

Farsha Beauty Headline Animator

Sunday 26 February 2012

Minyak- Kelapa Sawit-Gas Rumah Hijau-Pencemaran Udara-Industri Penerbangan

Hasil perladangan bantu atasi isu masalah pencemaran pelepasan gas rumah hijau

INDUSTRI penerbangan sudah lama dikecam kerana menyumbang kepada pelepasan gas 'rumah hijau' yang tinggi. Daripada jumlah pelepasan global, 56 peratus berpunca dari pembakaran bahan api fosil dan 17 peratus dari aktiviti pertanian. Industri penerbangan saja menyumbang kira-kira 649 juta tan pelepasan gas karbon dioksida setahun iaitu 2 peratus hingga 3 peratus daripada jumlah keseluruhan dunia. Baru-baru ini, syarikat Boeing dan lain-lain pengusaha industri penerbangan mengadakan persidangan di Kuala Lumpur untuk membincangkan sumber-sumber baru bahan bakar bio untuk menangani isu ini.
Untuk perbandingan, pelepasan gas ‘rumah hijau’ dari industri sawit Malaysia adalah sangat kecil. Keluasan tanaman sawit dunia yang dianggarkan 14.9 juta hektar hanya merangkumi 0.25 peratus daripada jumlah keluasan tanah pertanian dunia. Oleh itu, pelepasan gas ‘rumah hijau’ dari industri sawit dunia hanya 0.04 peratus 0.25 peratus x 17 peratus) daripada jumlah pelepasan global. Di Malaysia, tanaman sawit yang berjumlah 4.85 juta hektar hanya merangkumi 34.6 peratus daripada keluasan tanaman sawit dunia. Pengiraan selanjutnya mendedahkan bahawa pelepasan gas ‘rumah hijau’ dari industri sawit Malaysia adalah jauh lebih kecil iaitu 0.014 peratus 34.6 peratus x 0.04 peratus) daripada jumlah pelepasan global. Malah, jika keluasan tanaman sawit Malaysia digandakan sebanyak dua kali menjadi 9.7 juta hektar, peningkatan pelepasan gas ‘rumah hijau’ masih lagi kecil iaitu sebanyak 0.014 peratus menjadi 0.028 peratus. Dari sudut saintifik, peningkatan yang terlalu kecil ini boleh diabaikan.
Jejak gas ‘rumah hijau’ (GHG footprint) yang kecil dari industri sawit menarik perhatian pengusaha industri penerbangan ke Kuala Lumpur untuk membincangkan penggunaan minyak sawit sebagai bahan bakar bio untuk mengurangkan pelepasan gas ‘rumah hijau’ dari industri penerbangan. Seperti dinyatakan, jika pengeluaran minyak sawit Malaysia ditingkatkan sebanyak dua kali ganda, ia tidak akan memberi kesan ketara kepada pelepasan karbon. Sebaliknya, ia berpotensi untuk menghasilkan 18 juta tan atau 8.6 bilion gelen bahan bakar bio untuk enjin jet. Jumlah penggunaan bahan api di dalam industri penerbangan dianggarkan kira-kira 70 bilion gelen setahun. Jika Malaysia mampu melipat gandakan pengeluaran minyak sawitnya sebanyak dua kali bagi memenuhi permintaan ini, penggantian 12 peratus daripada jumlah kegunaan bahan api di dalam industri ini boleh dicapai.

Pelan jangka panjang penggunaan bahan bakar bio di dalam industri penerbangan akan bermula secara sederhana dengan pengenalan bahan bakar campuran yang mengandungi 1 peratus bahan bakar bio menjelang 2015. Kadar ini akan dipertingkatkan secara beransur-ansur dengan penambahan 1 peratus bahan bakar bio di dalam campuran ini pada setiap tahun supaya pelepasan gas ‘rumah hijau’ dapat dikekalkan pada kadar semasa meskipun penggunaan perkhidmatan pengangkutan udara dijangka akan mengalami pertumbuhan secara mendadak pada masa depan. Minyak sawit Malaysia mempunyai potensi besar untuk digunakan di dalam pelan ini kerana ia berupaya menggantikan peratusan (12 peratus) permintaan bahan bakar bio industri penerbangan dengan kadar sederhana juga. Penggunaan minyak sawit dari sumber lain boleh dipertimbangkan supaya pelan jangka panjang untuk mencapai sasaran campuran 50 peratus bahan api bio di dalam industri penerbangan dunia dapat dicapai.

Permintaan besar terhadap bahan bakar yang boleh diperbaharui di dalam industri penerbangan boleh ditampung jika biojisim (biomass) yang dijana tanaman sawit juga dimanfaatkan sebagai bahan bakar untuk kegunaan industri ini. Minyak sawit hanya merangkumi 10 peratus daripada jumlah keseluruhan biojisim tanaman sawit. Sebahagian dari 90 peratus biojisim lagi (berasaskan berat kering) boleh dijadikan bahan bakar bio dengan menggunakan teknologi BTL atau kilang penapisan bio yang sedang dibangunkan dengan rancak di seluruh dunia.

Hanya minyak sawit saja yang boleh merungkai isu kemampanan bahan bakar industri penerbangan dan ia wajar dipertimbangkan untuk mencari jalan penyelesaian yang praktikal. Tanaman minyak sayuran lain tidak berupaya menghasilkan kuantiti bahan bakar bio yang diinginkan kerana produktiviti tahunannya yang rendah berbanding tanaman sawit. Hanya Malaysia dan Indonesia yang merupakan negara pengeluar utama minyak sawit dunia yang mampu membekalkan lebihan minyak sayur-sayuran mereka ke pasaran dunia. Dengan menggandakan pengeluaran melalui peningkatan produktiviti dan keluasan kawasan tanaman serta penggunaan biojisim sawit, industri sawit mampu memenuhi sasaran masa depan industri penerbangan untuk menggunakan campuran 50 peratus bahan bakar bio untuk mengurangkan pelepasan gas ‘rumah hijau’.
Minyak sawit memenuhi kriteria kemampanan kerana ramai pengeluar di Malaysia membabitkan diri di dalam skim-skim pensijilan yang diiktiraf dan sebahagian besar daripada mereka dianugerahkan sijil oleh organisasi-organisasi pengesahan seperti RSPO dan ISCC. Halangan kecil kepada kejayaan pelaksanaan pelan jangka panjang bahan bakar bio industri penerbangan ialah harga bahan bakar bio yang lebih mahal berbanding harga bahan api fosil yang digunakan sekarang. Kekurangan lebihan bekalan dari minyak sayuran lain dan permintaan yang tinggi terhadap minyak sawit untuk kegunaan makanan akan mendorong minyak sawit diniagakan lebih mahal berbanding minyak mentah (petroleum). Jika harga minyak sawit diniagakan dengan lebih rendah, ia akan digunakan sebagai bahan api. Senario ini akan memastikan bahawa harga minyak sawit akan terus kekal lebih tinggi berbanding harga minyak mentah yang menjadi harga asas (floor price) untuk minyak sawit dan minyak sayuran yang lain.

Dengan perkembangan pengeluaran minyak sawit yang terancang, peningkatan bekalan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan bahan api yang boleh diperbaharui industri penerbangan boleh dicapai. Debat mengenai isu makanan dan bahan api tidak boleh dipakai di dalam pertimbangan memilih tanaman yang menguntungkan untuk ditanam di kawasan-kawasan pertanian yang semakin terhad (kawasan tanah terbiar tidak dikategorikan sebagai hutan simpan) di mana sawit boleh ditanam. Tanaman minyak bukan makanan seperti pokok jarak (jatropha) juga boleh ditanam di atas tanah terbiar ini tetapi ia hanya menghasilkan 20 peratus minyak berbanding tanaman sawit dan jauh lebih mahal untuk dikeluarkan lantas menjadikannya kurang berkesan untuk dijadikan jalan penyelesaian yang menarik.

Pengguna di seluruh dunia juga perlu bersedia menampung kos untuk mengurangkan pelepasan gas ‘rumah hijau’ dari industri penerbangan. Rancangan Kesatuan Eropah mengenakan cukai karbon ke atas sektor penerbangan adalah satu langkah yang betul. Adalah penting sekiranya wang yang dikutip ini disalurkan kepada petani sebagai pampasan kepada kegigihan mereka menghasilkan bekalan tambahan untuk dijadikan bahan bahan api di dalam sektor penerbangan. Pada masa ini, penekanan hanya dihadkan kepada proses pensijilan untuk kemampanan di mana caj pentadbiran saja menggunakan sehingga 80 peratus daripada jumlah wang terkumpul yang sepatutnya dijadikan insentif untuk pengeluaran bahan bakar api bio yang boleh diperbaharui. Ironinya, kos bagi mengupah juruaudit dan membayar yuran keahlian badan-badan pensijilan adalah lebih tinggi berbanding kadar wajib pembiayaan penyelidikan yang dikenakan ke atas industri minyak sawit Malaysia!

Peluang baru untuk meningkatkan bekalan bahan bakar bio berasaskan minyak sawit untuk industri penerbangan boleh dicapai melalui peningkatan di dalam penyelidikan dan pengagihan dana. Bagaimanapun, jika kos pensijilan adalah lebih tinggi berbanding kos pelaburan di dalam penyelidikan dan cukai karbon hanya digunakan untuk memberi manfaat kepada golongan birokrasi saja, pembangunan bahan bakar bio berasaskan sumber-sumber dari sawit untuk industri penerbangan akan terbantut. Malah, pembangunan bahan bakar bio dari sumber minyak sayuran lain akan menjadi mustahil. Minyak sawit adalah satu-satunya jalan penyelesaian untuk jangka masa yang panjang.

Pilihan yang ada untuk industri penerbangan adalah terhad. Ia tidak boleh memanfaatkan tenaga hidro, angin atau solar (matahari) untuk menerbangkan pesawat jet. Kebanyakan biojisim yang berasaskan tanaman mempunyai nisbah tenaga pengeluaran dan tenaga yang digunakan (output and input energy) yang rendah iaitu 3:1 berbanding sawit (9:1). Minyak sawit adalah pilihan terbaik ketika ini melainkan jika ada keajaiban lain yang berlaku atau teknologi alga (algae) berjaya direalisasikan. Malah, bahan api berasaskan minyak mentah bukan pilihan berkesan untuk jangka masa panjang; bekalannya adalah terhad. Bekalan bahan api akan mula merosot dari kemuncaknya dalam beberapa tahun lagi. Pada masa itu, hampir semua bahan mentah akan menjadi mahal kecuali minyak sawit mampan yang dihasilkan melalui pembangunan kapasiti pengeluaran terancang dengan pelaburan awal yang mencukupi di dalam penyelidikan dan pembangunan di masa depan.

Sumber 

No comments:

Post a Comment