Kemunculan produk tablet iPad dua tahun lalu memberi nafas baru kepada produk mudah alih sehingga mampu mengubah cara pengguna melayari internet dan laman rangkaian sosial, sekali gus mewujudkan segmen pasaran baru.
Antaranya, iPad 3, iPad mini dan iPhone 5 dengan pelbagai ciri bertenaga dan unik bagi menyokong sistem operasi Apple, IOS yang kerap kali dikemas kini mengikut kehendak penggunanya.
iPad 3
Ketika iPad 2 disifatkan sudah mencapai tempoh matang penggunaannya, Apple tanpa berlengah membangunkan iPad 3 yang mana difahamkan akan menemui pengguna pada suku pertama tahun ini.
Menurut IBTIMES.com, syarikat akhbar perniagaan dalam talian yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, reka bentuk iPad 3 tidak banyak berbeza dengan ciri asas paparan skrin besar terus ditampilkan dan warna asas hitam atau putih masih dikekalkan.
GAJET menyokong pendapat itu berdasarkan reka bentuk iPhone yang masih mengekalkan penampilan hampir sama dengan model pertamanya.
Bagi iPad 3, dijangka ciri kameranya lebih baik, jangka hayat bateri dipertingkatkan dan fungsi Siri yang terdapat pada iPhone 4S turut digabungkan.
Selain itu, Apple berkemungkinan meningkatkan aspek resolusi skrin bagi menepati sistem penyampaian syarikat teknologi lain dan pastinya kemampuan beroperasi dengan sistem 4G, standard selular tanpa wayar generasi keempat, turut diutamakan.
iPAD Mini
Selain kemunculan iPad 3, berita Apple bakal memperkenalkan produk dalam rangkaian keluarga iPad iaitu iPad Mini semakin menjadi kenyataan, khususnya bagi menepati segmen skrin tujuh inci.
Laporan DigiTimes, akhbar harian industri semikonduktor, elektronik, komputer dan komunikasi berpangkalan di Taiwan serta China, mendedahkan iPad Mini dihasilkan bagi menyemarakkan lagi saingan produk tablet dengan skrin lebih kecil.
Difahamkan, skrin sesentuh 7.85 inci iPad Mini akan diketengahkan untuk pasaran paparan skrin bersaiz 7 inci yang kini diperkenalkan syarikat Amazon menerusi produknya, Kindle Fire.
Jika benar Apple membangunkan iPad Mini, ia dijangka dilancarkan pada suku keempat 2012, kemungkinan bertujuan tidak mahu mengganggu pelancaran iPad 3 sebelum itu.
iPhone 5
Selepas iPhone 4S dilancarkan pada penghujung tahun lalu dengan pelbagai ciri baru diketengahkan, dunia telefon pintar Apple tidak bercadang untuk berehat sepanjang tahun ini.
Kemunculan telefon pintar iPhone 5 sering menjadi topik perbualan di kalangan peminat gajet seluruh dunia dan tempatan.
Apabila iPhone 4S diumumkan tahun lalu, ramai yang menyuarakan kekecewaan mereka dan ada kalangan peminat Apple kecewa kerana ia bukan iPhone 5 yang amat dinanti-nantikan.
Bagi 2012, iPhone 5 adalah model yang dinanti-nantikan dan beberapa laporan yang dipaparkan menerusi laman web, rangkaian sosial dan blog menjangkakan ia bakal dilancarkan pada suku pertama.
Antara ciri utama bakal dipertingkatkan ialah fungsi Siri yang kini masih pada peringkat Beta.
iPhone 5 juga dijangka memiliki saiz paparan skrin lebih besar daripada ukuran 4 inci dan dengan reka bentuk berbeza.
Ciri lain termasuk jangka hayat bateri lebih lama, penggunaan prosesor Quad-core dan kesesuaian digunakan menerusi teknologi 4G.
Kesimpulan
Kemunculan iPad 3, iPad Mini dan iPhone 5 pastinya menjadi tumpuan 2012 khususnya di kalangan peminat produk Apple dan juga penggerak industri perkakasan IT global.
Telefon pintar iPhone dan tablet iPad yang kini menjadi meneraju segmen pasaran masing-masing hanya dapat diperkukuhkan dengan rangkaian produk yang memiliki keupayaan serta ciri yang lebih unik.
Pengenalan produk itu juga bakal menjadi pengukur kepada kemampuan Tim Cook yang kini menerajui Apple selepas ketiadaan pengasas syarikat itu, sejak tahun lalu.
Sekiranya Jobs berjaya menghasilkan produk pengguna dengan mengambil pendekatan mendengar serta memahami kehendak pelanggan, Cook memiliki caranya tersendiri dan ia bakal dinilai sepanjang 2012.
Sumber
No comments:
Post a Comment