Photobucket

Infolinks In Text Ads

Joomla Best around Read more: Skrip Load Blog Page bagi laju | UShareMine

Farsha Beauty Headline Animator

Thursday 1 March 2012

Program Imunisasi-Pneumokokal-Pekak-cacat-Meningitis-vaksin-Who-Pediatrik

Pneumokokal boleh jadi punca pekak, cacat otak tetapi mampu dicegah dengan vaksin

IMUNISASI anak-anak adalah benteng pertama melindungi nyawa mereka dari jangkitan pelbagai bakteria berbahaya. Walaupun Malaysia bertuah kerana program imunisasi yang disediakan Kementerian Kesihatan adalah berpandukan Perluasan Program Imunisasi (EPI) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan diberi percuma kepada bayi dan kanak-kanak, namun masih ada vaksin yang tiada dalam jadual imunisasi kementerian seperti vaksin jangkitan pneumokokal.

Perunding Pediatrik dan Neonatologi Sunway Medical Centre, Dr Khoo Boo Aik menjelaskan, pneumokokal ialah satu kumpulan jangkitan berbahaya yang disebabkan oleh bakterium Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus. Jangkitan bakteria ini boleh mengakibatkan beberapa penyakit lazim seperti jangkitan saluran pernafasan termasuk otitis media (keradangan pada telinga tengah); sinusitis dan jangkitan paru-paru (pneumonia).

Dr Khoo berkata, ia juga boleh menyebabkan sepsis iaitu sejenis jangkitan pada aliran darah dan meningitis (jangkitan pada selaput otak).

“Dalam kata lain, jangkitan ini boleh menyebabkan hilang pendengaran secara kekal, sawan, kelumpuhan, cacat otak, diabiliti dan kematian dalam kes tertentu.

Individu yang termasuk dalam kategori berisiko dijangkiti penyakit ini ialah kumpulan usia seawal bawah lima tahun dan melebihi 65 tahun. Ini kerana sistem imun tubuh yang rendah.

Faktor lain termasuk tidak mempunyai limpa atau tidak berfungsi dengan betul; pernah mendapat rawatan akibat pneumonia; menghidap diabetes; masalah jantung kronik, masalah paru-paru; masalah buah pinggang atau hati; sistem imun yang lemah; mewarisi gangguan immunodeficiency atau menghidap virus human immunodeficiency (HIV) atau acquired immune deficiency syndrome (AIDS) serta implan koklea.

Dr Khoo berkata, antara gejala yang lazim dikesan pada kanak-kanak termasuk batuk berkahak; demam panas; sakit telinga atau lelehan telinga; mudah meragam; menangis berpanjangan; kurang aktif; kelesuan dan nampak sakit. Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa tidak semua akan mengalami gejala yang dinyatakan ketika diagnosa.

Beliau berkata, pneumokokal didiagnosa secara klinikal iaitu berdasarkan hasil ujian klinikal dan ujian pemeriksaan fizikal. Namun, menurutnya, ada beberapa lagi ujian yang dapat membantu mendapatkan keputusan positif tetapi kadangkala masih gagal untuk dikesan. Ini termasuk x-ray dada, kultur dan sensitiviti (C+S) kahak, (C+S) darah, (C+S) air kencing serta (C+S) cecair cerebrospinal.

Dr Khoo berkata, sekalipun berbahaya dan sukar didiagnosa, penyakit ini boleh dicegah dengan langkah-langkah pencegahan am seperti mengekal penjagaan diri yang baik dan pengambilan makanan berkhasiat bagi membina sistem imun sihat. Bagaimanapun, kaedah paling efektif dalam usaha pencegahan pneumokokal adalah dengan vaksin.

“Vaksin diberi dalam bentuk suntikan di mana jumlah dos yang diperlukan pesakit bergantung pada usia mereka. Suntikan vaksin ini berfungsi dengan memberi stimulasi pada tubuh untuk menghasilkan antibodi bagi menentang bakteria pneumokokal. Antibodi ini melindungi anda daripada penyakit sekiranya anda dijangkiti bakteria pneumokokal. Ia juga melindungi daripada banyak (tidak semua) jenis bakteria pneumokokal,” katanya.

Beliau berkata, pneumokokal boleh merebak melalui sentuhan antara orang yang sakit atau pembawa bakteria itu pada tekak mereka. Anda juga boleh mendapat pneumokokal pneumonia daripada titisan air melalui pernafasan dari hidung atau mulut orang yang dijangkiti.

Dr Khoo berkata, antara pilihan rawatan adalah antibiotik secara Intravenous bersama ubatan yang melegakan gejala. Bagaimanapun, dunia berhadapan dengan peningkatan jenis bakteria yang kebal antibiotik. Ini menyukarkan proses rawatan jangkitan bakteria serius ini sekali gus pencegahan melalui vaksin adalah cara terbaik sebagai pilihan rawatan.

Beliau berkata, penyakit ini boleh menyebabkan komplikasi serius malah maut selain ibu bapa dan penjaga berdepan kebimbangan yang tidak berkesudahan. Kesan psikologikal yang ditinggalkan penyakit ini mampu terlihat pada ibu bapa dalam bentuk beban kewangan bagi menampung kos rawatan hospital.

“Jangan lupa bahawa doktor adalah penjaga yang bertanggungjawab merawat pesakit sehingga sembuh. Sehubungan itu, doktor sangat menekankan pencegahan menerusi kaedah vaksin.

“Ibu bapa perlu sedar bahawa pneumokokal adalah penyakit yang serius dan membawa maut. Sehubungan itu, mereka perlu sedar bahawa pencegahan terhadapnya boleh dilakukan.

“Sekiranya anak-anak tidak mendapat suntikan vaksin ini, ibu bapa perlu peka dan mengambil perhatian terhadap sebarang gejala yang dialami serta segera berjumpa doktor untuk mengesan dan memberi rawatan segera bagi mengelak komplikasi menjadi bertambah buruk,” katanya.

Dr Khoo berkata, ibu bapa harus sedar pneumokokal adalah penyakit yang serius tetapi boleh dicegah.

Sehubungan itu, berikan suntikan vaksin kepada anak anda kerana melalui vaksin ia terbukti lebih efektif dari segi kos sebagai kaedah memerangi jangkitan termasuk penyakit pneumococcal.

Sumber

No comments:

Post a Comment