kanak-kanak hilang
BERAPA ramai lagi? Perkataan itu timbul di benak fikiran selepas mendengar berita kematian Dirang, 12 Mac lalu.

Kanak-kanak dengan nama sebenar Nurul Nadirah Abdullah yang baru berumur lima tahun itu, dibakar sehingga hanya tinggal rangka.

Tragedi itu seperti ulang tayang kes pada 2007, apabila seorang kanak-kanak perempuan comel, Nurin Jazlin Jazimin, 8, dilaporkan hilang. Dia kemudian ditemui mati dalam keadaan menyayat hati.

Dua kes dengan tempoh lima tahun itu mempunyai jalan cerita dan pengakhiran tragik yang serupa.

Tetapi di manakah permulaan kisah sedih ini?

Setiap kali berita mengenai kanak-kanak hilang dilaporkan, perkara pertama yang ditanya adalah ‘Macam mana budak tu boleh hilang?’.

Jika mangsa hilang semasa bermain seorang diri di taman, atau semasa ke kedai seperti diarahkan ibu, tidakkah ia menggambarkan kecuaian ibu bapa?

Mungkin ada yang merasakan kenyataan seperti ini sedikit kasar, tetapi kebenaran itu memang pahit, bukan?

Ya, tetapi tidak ramai yang ingin memperkatakannya kerana enggan digelar tidak sensitif.

Jika kesedaran ini tidak diterapkan ke dalam ibu bapa, sampai bila negara perlu menangis melihat tubuh longlai kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa kerakusan manusia berhati binatang atau kemalangan lain?

Lihat di sekeliling kita. Berapa ramai ibu bapa yang meninggalkan anak-anak di dalam kereta sementara mereka ke bank, kedai atau membeli makanan?

Berapa ramai pula yang membiarkan anak berlari-lari di kawasan sibuk seperti pusat membeli-belah dan lapangan terbang?

Hanya tiga hari selepas berita kematian Dirang, seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun pula ditemui mati terapung setelah hilang semasa bermain di taman permainan­ di Tasik Titiwangsa, minggu lalu.

Ibunya mengakui mangsa kerap merenung ke arah tasik dan cuba menghampiri kawasan itu dua kali sebelum hilang.

Juga dalam minggu lalu, satu lagi tragedi dilaporkan, melibatkan seorang bayi berumur 15 bulan yang mayatnya ditemui terapung di sungai berhampiran rumahnya, di Kelantan.

Mangsa yang baru belajar berjalan keluar dari rumah tanpa disedari ibunya yang sedang mencuci pakaian.

Jadi, apa yang kita perlu lakukan?

Mungkin kita semua perlu mendengar nasihat Sultanah Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah semasa baginda melawat keluarga Dirang, minggu lalu.

“Sebagai ibu, saya faham perasaan ibu Dirang. Perkara seperti inilah paling ditakuti setiap ibu bapa. Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi lebih baik kita mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin juga dalam kenyataan terbaru menyebut, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan memerlukan perhatian dan kerjasama orang ramai.

“Sekali lagi pihak polis ingin mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak pada setiap masa, terutamanya yang masih kecil dan tidak meninggalkan mereka tanpa pengawasan,” katanya.

Ini kerana kes kanak-kanak hilang bukan baru, tetapi nampaknya ramai ibu bapa masih tidak me­ngambil iktibar.

Memang benar, jenayah atau kemalangan bukan sesuatu yang boleh dijangka, tetapi persekitaran itu boleh dikawal bagi merendahkan risiko anak-anak kecil ini menjadi mangsa culik atau bunuh, terutama jika kita sendiri maklum dunia kini dipenuhi manusia kurang waras.

Umpama pintu rumah yang dikunci berbanding pintu rumah terbuka luas. Yang mana lebih mudah dimasuki pencuri?

Sumber