Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat.
Aqsa Syarif mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyahut seruan ‘Global march to Jerusalem’ GMJ pada 30 Mac 2012 yang akan berjalan serentak di seluruh dunia.
GMJ atau Perarakan menuju Baitul Maqdis adalah satu program yang menggabungkan inisiatif global untuk membela dan membebaskan Baitul Maqdis dan bumi Palestin dari cengkaman Zionis yang telah menceroboh tanah suci dan pusat tiga agama besar dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Sepanjang 64 tahun yang lalu sejak berdirinya Negara haram Israel dan sejak 45 tahun Baitul Maqdis dan Tebing Barat diduduki oleh Israel, pelbagai bentuk kebiadaban telah dilakukan ke atas tempat-tempat suci dan rumah-rumah ibadah khususnya yang dimiliki oleh umat Islam dan Kristian.
Ancaman ke atas Baitul Maqdis dan sekitarnya bermula dalam perang 1948, di mana Israel mengusir hampir 800,000 penduduk Palestin, 100,000 dari mereka adalah golongan Kristian. Tentera zionis memusnahkan 492 perkampungan termasuk 480 masjid dan 14 buah masjid ditukar menjadi kilang, kelab-kelab hiburan dan kandang ternakan haiwan. 410 tanah perkuburan Islam diratakan dan tanda-tanda makam dimusnahkan. Ini termasuklah Hotel Hilton di Tel Aviv yang didirikan di atas tanah perkuburan Islam Abed an-Nabi. Tragedi tersebut disusuli pula dengan pencerobohan ke atas Baitul Maqdis dan Tebing Barat ekoran pendudukan Israel pada tahun 1967. Dari tahun 1967 sehingga 2004, The Arab Association for Human Rights melaporkan sebanyak 247 masjid dan 19 gereja dicemari dengan pelbagai bentuk penghinaan, diserang dan dirobohkan. Di sekitar Baitul Maqdis sahaja sebanyak 14 masjid menjadi sasaran Zionis.
Sepanjang tahun 2011 sahaja AFEH (Al-Aqsa Foundation for Endowment and Heritage - Yayasan al-Aqsa untuk Waqf dan Warisan) telah mencatat lebih dari 100 serangan ke atas Masjid al-Aqsa oleh elemen-elemen Zionis. Selain dari Masjid al-Aqsa, serangan juga melibatkan 8 buah masjid yang dibakar, cubaan untuk membakar sebuah lagi dan tindakan merobohkan 3 buah masjid yang lain. Tiga belas buah masjid lagi dicemari dan tiga tempat suci Kristian diserang. Di samping itu, 9 tanah perkuburan dicemar dan dimusnahkan. Sebanyak 120 kubur dirosakkan di tanah perkuburan Mamanullah. Sumber AFEH melaporkan serangan ini dilakukan oleh pihak kerajaan, tentera dan pendatang haram yahudi.
Selain dari memusnahkan tempat-tempat suci untuk memadamkan wajah Islam dan Kristian di Baitul Maqdis dan Palestin secara keseluruhan, pihak Zionis secara terang-terangan telah melakukan pelbagai tindakan yang melanggar hak asasi rakyat Palestin dan membelakangkan undang-undang antarabangsa. Tindakan-tindakan biadab ini adalah dalam rangka untuk meyahudikan Baitul Maqdis dan memadamkan ciri asal kota suci yang merupakan pusat agama, budaya dan kesenian tiga agama utama dunia sejak zaman-berzaman.
Mereka telah membina temboh pemisah (Separation Wall) yang menghalang penduduk Baitul Maqdis dari berhubung di antara satu dengan lain. Panjang tembok ini ialah 181 km yang menutup dan mengepung sepenuhnya Baitul Maqdis . Tembok ini mengepung kawasan seluas 235 km persegi atau merangkumi 4% dari wilayah Tebing Barat. Ini bererti jalan keluar masuk ke Baitul Maqdis dan Masjid al- Aqsa akan dikawal ketat dari semua arah. Terdapat sebanyak 23 sekatan jalan (roadblocks) di sekitar Baitul Maqdis. Sekatan-sekatan jalan ini diwujudkan untuk menghalang pergerakan rakyat Palestin dari Tebing Barat masuk ke al Quds dan sebaliknya. Mereka menjadikan sekatan jalan ini sebagai pintu masuk antarabangsa (international crossing points) yang hanya boleh dilalui dengan visa yang dikeluarkan oleh Zionis Israel.
Zionis Israel juga telah dan sedang membina penempatan-penempatan haram Yahudi di sekitar Baitul Maqdis.
Penempatan haram ini meliputi kawasan seluas 112.13 km persegi atau menyamai 47.7% dari kawasan al Quds yang di kelilingi oleh tembok (Jerusalem envelope) yang menempatkan 236,480 pendatang yahudi. Jumlah ini jelas untuk menandingi bilangan rakyat Palestin seramai 151,423 yang terkepung di dalam kawasan tembok sedangkan 251,259 rakyat Palestin berada di luar tembok.
Anjuran GMJ ini juga adalah bersempena dengan Land Day atau 'Hari Tanah' Palestin yang bermula pada 30 Mac, 1977 apabila tentera Zionis menyerang orang awam Palestin yang berdemonstrasi untuk membantah rampasan tanah secara berleluasa di Galilee, utara 'Israel' atau lebih tepat lagi wilayah Palestin yang dijajah sejak 1948. Pada hari tersebut, tentera Zionis membunuh enam orang Palestin, mencederakan 96 orang dan menahan dan memenjarakan kira-kira 300 orang. Seluruh bangsa Palestin dalam 'Israel', Tebing Barat, Gaza dan mereka yang berada di khemah-khemah pelarian di negara-negara Arab mengisytiharkan hari tersebut sebagaiLand Day atau 'Hari Tanah' untuk mengingati kehilangan tanah rakyat Palestin yang masih berlaku untuk meluaskan lagi negara haram Israel.
Kini setelah 32 tahun, rejim Zionis terus rakus merampas tanah-tanah milik orang Palestin samada di Tebing Barat, Baitul Maqdis Timur dan di negara haram Israel sendiri. Bahkan perjanjian Oslo 1993 yang kononnya menjanjikan sebuah wilayah Palestin yang merdeka berasaskan resolusi PBB 242 1967 terus dicabuli sendiri oleh rejim zionis apabila terus merampas tanah rakyat Palestin dan merobohkan kediamam mereka bagi membina lebih banyak penempatan haram Yahudi. Penipuan-penipuan yang berselindung disebalik perjanjian damai terus berlaku sehingga kini. Ini termasuklah merancakkan aktiviti pembinaan penempatan Yahudi di Ma'ale Adoumin di Tebing Barat sebaik sahaja Konferens Annapolis selesai pada tahun 2007.
Rampasan tanah ini juga berlaku akibat pembinaan tembok pemisah di sepanjang Tebing Barat yang menyebabkan 45% dari tanah rakyat Palestin kini berada dalam wilayah negara haram Israel. Tembok pemisah ini menyebabkan rakyat Palestin kehilangan tanah-tanah pertanian mereka, telaga air bahkan rumah kediaman. Kadar keciciran di kalangan pelajar sekolah juga amat tinggi kerana perjalanan ke sekolah terhalang oleh tembok.
Pada tarikh yang sama iaitu 30 Mac 2009, kempen BDS (Boycott, Divestment and Sanctions) atau 'Boikot, Mengalihkan pelaburan dan Sekatan' dilancarkan bersempena dengan seruan World Social Forum di Belem, Brazil yang menyeru seluruh dunia memboikot produk, dan institusi Israel. Kempen boikot Israel adalah sangat penting dan menjadi sebahagian dari perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin dan mengembalikan hak rakyat Palestin termasuk hak untuk pulang ke negara mereka seperti yang dijamin oleh piagam dan resolusi-resolusi PBB. Dalam keadaan rakyat Palestin terus dikepung dan dipenjarakan di Gaza dan di Baitul Maqdis maka BDS merupakan satu seruan yang wajib untuk disambut oleh seluruh masyarakat antarabangsa bagi menamatkan kepungan Israel.
Kesemua kezaliman ini menuntut kepada satu tindakan yang padu dari masyarakat antarabangsa untuk memelihara Baitul maqdis dan Palestin dari terus dirosakkan dan dimusnahkan oleh tangan-tangan Zionis yang anti kemanusiaan. Tindakan biadab mereka bukan sahaja menzalimi rakyat Palestin yang sudah berlanjutan lebih dari enam dekad malah mereka sedang bekerja siang-malam untuk memusnahkan warisan dan tamadun kemanusiaan yang tidak ternilai. Perbuatan biadab ini mesti dihentikan segera dan rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama seluruh masyarakat antarabangsa dalam menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin. Solidariti boleh dizahirkan dengan menyertai perhimpunan perarakan MyGMJ yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada Jumaat 30 Mac 2012.
Di masa yang sama seramai 23 orang rakyat Malaysia akan bersama dengan anggaran 2 juta masyarakat antarabangsa dari 80 negara yang akan berkumpul di empat buah negara yang berjiran dengan Palestin. Kesemua delegasi Malaysia akan bersama dengan rakyat Jordan dan Palestin dan warga Malaysia yang berada di Jordan yang akan akan bersama menyatakan solidariti mereka bersama rakyat Palestin di Baitul Maqdis dan di Palestin.
Aqsa Syarif menyeru semua pihak yang cintakan kedamaian dan menghormati prinsip hak asasi manusia supaya berganding bahu sempena Global March to Jerusalem dengan menyemarakkan kempen kesedaran ini dengan menyertai Perhimpunan MyGMJ yang telah dirancang pada 30 Mac 2012.
Perkembangan tentang Perhimpunan MyGMJ boleh diikuti di
http://www.mygmj.org.my/
http://www.twitter.com/myGMJ
http://www.facebook.com/MalaysiaGMJ
Pengerusi Sekretariat MyGMJ Dr Mohd Tahir b Abdul Rahman +6017-9720700
SU Ar Hj Syed Mohd Radzi Sayyid Sakkaf +6013-3909881
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif
MEMPERKASA UMMAH MEMBEBASKAN AL-AQSA