Photobucket

Infolinks In Text Ads

Joomla Best around Read more: Skrip Load Blog Page bagi laju | UShareMine

Farsha Beauty Headline Animator

Sunday 21 August 2011

Perihal osteoartritis dan kesihatan



pix_middle
SAKIT lutut memang menyeksakan. Hendak berjalan beberapa langkah pun terasa jauh, inikan pula jika berangan-angan untuk melancong. Sudah tentu ia cuma sekadar impian kerana sakit ini membataskan pergerakan.
Osteoartritis (OA) sendi lutut ialah penyakit kerosakan dan kemerosotan tulang rawan (kartilaj) lutut yang berlaku secara perlahan-lahan.
Punca utama masalah ini ialah proses penuaan iaitu semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko mendapat OA sendi lutut. Kadar mereka yang berusia 65 tahun ke atas mendapat OA sendi lutut ialah 40 peratus.

Di luar negara, Amerika Syarikat misalnya, kadar mendapat OA lebih tinggi iaitu lebih 50 peratus. Boleh dikatakan, 100 peratus mereka yang berusia 80 tahun ke atas mempunyai masalah OA.



OA bukan saja berlaku ke atas lutut, malah boleh menjejaskan sendi yang menampung berat badan lain seperti pinggul, tulang belakang, kaki dan tangan. Orang Asia lebih mudah mengalami masalah lutut manakala orang Inggeris berdepan kesakitan lutut dan pinggul.

Berat badan berlebihan punca OA lebih mudah terjadi. Oleh itu, penting untuk kita memastikan berat badan ideal bagi melambatkan proses mendapat OA.

Selain itu, kesan kecederaan lutut selepas kemalangan (post traumatic), jenis pekerjaan diceburi, penggunaan berlebihan dan kecederaan di kalangan atlet turut menjadi punca penyakit OA sendi lutut.

Pakar Perunding Ortopedik dan Kecederaan Sendi Hospital Columbia Asia Cheras, Dr Azfar Rizal Ahmad, berkata gejala radang dalam sendi menyebabkan kerosakan rawan berterusan, akibatnya rawan menjadi nipis dan lama-kelamaan semakin haus dan membotak.

“Sendi lutut sihat mengandungi bahan cecair pelincir dikenali sebagai cecair sinovial yang tinggi. Cecair ini yang mengandungi asid hialuronik berfungsi sebagai pelinciran dan kusyen yang mengurangkan geseran pada sendi lutut ketika kita berjalan atau membongkok.

Ia turut mempunyai daya menyerap hentakan untuk melindungi sendi lutut ketika kita melakukan aktiviti fizikal seperti melompat.

“Apabila OA berlaku, cecair dalam sendi kurang kelikatan dan kandungan asid hialuronik rendah, daya serapan dan penyerap hentakan akan hilang. Dalam kes tertentu, individu berusia 18 ke 24 tahun turut mengalami masalah ini. Kadar mendapat OA ialah 70 peratus untuk lelaki dan 30 peratus perempuan.

“Untuk melengahkan proses mendapat OA, sebaik- baiknya kekalkan berat badan ideal anda dengan latihan dan pemakanan sihat. Selain itu, elak kecederaan dengan teknik sukan betul iaitu regangan dan pemanasan badan. Apabila cedera, jangan teruskan bermain, sebaliknya dapatkan rawatan doktor,” katanya.


Tanda biasa sakit OA sendi lutut:

  • Rasa sakit ketika bergerak dan berehat



  • Rasa berkeriut pada sendi ketika bergerak



  • Rasa tegang/kaku selepas berehat buat seketika



  • Gerak-geri terbatas



  • Hilang mobiliti



  • Lemah postur akibat rasa sakit dan kekesatan sendi lutut


    Menurutnya, OA tiada penawar dan tidak boleh sembuh kerana ia proses penuaan. Diagnosis dan rawatan awal penting bagi membantu mengurangkan rasa sakit sendi lutut.

    “Aspek rawatan merangkumi banyak faktor. Pesakit perlu mengetahui gejala penyakit, perkara yang harus dilakukan apabila mengalami OA serta perlu mengubahsuai cara hidup.

    “Untuk bersolat misalnya, jika tidak mampu melakukan duduk antara dua sujud, pesakit menunaikan solat dengan duduk di kerusi.

    “Jika sebelum ini menggunakan tandas cangkung, beralih kepada tandas duduk dan bagi yang tinggal di rumah bertingkat, sebaik-baiknya tinggal di tingkat bawah,” katanya.

    Mengawal sakit dengan cara ubat dan fisioterapi memerlukan tahap kecergasan tinggi. Biasanya pesakit berusia 60 tahun ke atas perlu berjalan setengah jam antara tiga atau empat kali seminggu. Berjalan meningkatkan kecergasan dan menguatkan otot.

    Bergantung kepada tahap sakit, pesakit juga boleh mengatasi kesakitan dengan penggunaan ubat melalui pengambilan nutrisi tambahan dan viskosuplementasi. Secara ringkasnya, kaedah itu ialah menggantikan bendalir dalam sendi.

    “Tulang rawan yang lembut melindungi tulang tetapi apabila ia luka, ia tidak mampu merawat dirinya sendiri. Suntikan viskosuplemen pada lutut boleh menggantikan bendalir sendi rosak dengan viskosuplemen yang menyerupai sendi sihat. Ia akan mengurangkan rasa sakit dan memulihkan fungsi sendi lutut,” katanya.

    Banyak jenis bendalir digunakan untuk tujuan itu misalnya, ada yang diambil daripada haiwan dan daripada proses penapaian bakteria. Berat molekulnya juga berlainan iaitu ada yang tinggi dan rendah dengan 500,000 dalton bagi kadar molekul yang rendah dan enam juta dalton bagi kadar paling tinggi.

    “Lebih tinggi berat molekul, lebih tinggi kekenyalan dan tinggal lebih lama dalam sendi selepas disuntik. Selepas tujuh hari disuntik, ia diserap masuk dalam sinobium, malah sinobium sendiri menghasilkan cecair sendi baru yang pekat. Suntikan dan ketahanan bergantung kepada peringkat OA,” katanya.



  • Peringkat pertama — tiada tanda penyempitan pada ruang sendi lutut



  • Peringkat kedua — terdapat sedikit perubahan pada ruang sendi. Ada kesan cebisan osteofit (susut tulang) pada persekitaran sendi lutut



  • Peringkat ketiga — berlaku penyempitan pada ruang sendi lutut. Boleh dikesan kehadiran osteofit yang berganda pada persekitaran sendi lutut



  • Peringkat keempat — berlaku penyempitan ruang sendi lutut yang ketara dengan tulang sendi bersentuhan. Kehadiran osteofit besar yang berganda dapat dikesan


    Suntikan viskosuplemen pada sakit OA sendi lutut peringkat pertama dan kedua boleh bertahan sehingga 12 bulan, pada peringkat ketiga (lapan hingga 10 bulan) dan peringkat keempat (enam bulan).

    Risiko komplikasi rawatan begitu rendah dan ia selamat dilakukan berulang-ulang. Selepas disuntik, pesakit akan berasa lega pada minggu keempat. Kos mengambil suntikan viskosuplemen lebih tinggi daripada makan pil untuk mengurangkan rasa sakit seperti paracetamol dan NSAIDs.

    Sebelum ini, pesakit perlu mengambil tiga kali suntikan tetapi disebabkan syarikat pengeluar ubat mengeluarkan ubat lebih baik, hanya satu suntikan diperlukan. Ia menjimatkan masa kerana pesakit tidak perlu datang untuk kali kedua dan ketiga.

    Menurutnya, cara menyuntik viskosuplemen adalah mudah iaitu mencuci bahagian yang ingin disuntik dengan bahan pembasmi kuman. Suntikan bius dilakukan untuk mendatangkan rasa kebas.

    Cecair sendi lama yang banyak kekotoran dibuang dan cecair baru iaitu asid hialuronik dimasukkan. Prosedur ini mudah dan selamat dan kesan sampingannya sedikit iaitu bengkak di tempat suntikan. Bagaimanapun, ia jarang berlaku, malah risiko jangkitan juga kecil.

    Kaedah suntikan viskosuplemen tiga kali diperkenalkan sejak 11 tahun lalu manakala satu suntikan sejak empat tahun lalu. Jika pengambilan pil bertindak sebagai baja untuk tulang rawan, viskosuplemen pula lebih kepada menggantikan bendalir dalam sendi lutut untuk lebih pelinciran.

    Penggunaan pil lambat dirasai kesannya, manakala viskosuplemen lebih cepat memberi kelegaan. Kaedah ini sesuai untuk pesakit yang sudah makan ubat tetapi tidak berkesan, tidak mahu mengambil steroid mahupun mereka yang mempunyai sakit seperti diabetes atau sakit jantung serta mereka yang tidak mahu menjalani pembedahan lutut.

    Kaedah ini disarankan kepada pesakit yang ingin mengerjakan umrah atau haji yang memerlukan mereka banyak berjalan ketika menunaikan ibadat berkenaan.

  • SUMBER:http://www.hmetro.com.my/articles/Cecairsendisusut/Article/artikelMA

    No comments:

    Post a Comment